Lukmanul Hakim; katanya seribu hikmah

Lukmanul Hakim dikenali sebagai manusia yang sering meninggalkan
peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau merupakan
seorang bapa yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata
berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.

Pernah suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau
mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan
berjalan kaki. “Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan
berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai,”
kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka.

“Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?” tanya
Lukmanul Hakim kepada anaknya.

“Dengar ayah,” jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya,”
katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai.

“Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya
yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang
masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut,” kata sekumpulan
manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan.

“Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?” tanya Lukmanul Hakim
kepada anaknya.

Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.

“Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan
kaki,” kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.

Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia
yang lain. “Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai
untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk
diseret seperti lembu dan kambing,” kata mereka.

“Dengarkah engkau apa yang mereka kata?” tanya Lukmanul Hakim kepada
anaknya lagi.

“Dengar ayah.”

“Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,”

Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan
orang yang lain pula. “Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini,
keldai yang kecil ditunggangi berdua!” kata mereka.

Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, “Adakah engkau dengar apa
yang mereka perkatakan?”

“Ya ayah, saya dengar.”

“Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini,” kata Lukmanul Hakim

Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka
berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka
mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang
ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak.
“Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!”

“Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?” dia bertanya kepada
anaknya lagi.

“Dengar ayah,” jawab anaknya.

Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di
sebalik peristiwa tadi, “Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau
apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata
mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata.”

“Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau
berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah
dengan din sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah.”

Lukmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya sebelum beliau
meninggalkan dunia yang fana ini. “Wahai anakku, janganlah engkau
makan kecuali makanan yang sedap sahaja. Berkahwinlah selalu dan
binalah rumahmu di seluruh pelosok bumi ini.”

Anaknya seolah-olah tidak percaya dengan wasiat ayahnya itu. Tetapi
mungkin juga ada sesuatu di sebalik kata-kata itu, fikirnya. Setelah
ayahnya selesai dikebumikan dia berjumpa dengan seorang teman rapat
ayahnya, lalu meminta penjelasan berkenaan kata-kata wasiat ayahnya
itu dengan penuh sangsi.

“Ayahmu memang benar,” kata teman ayahnya.

Dia semakin bingung dengan jawapan itu lalu bertanya,”Apakah maksud
pak cik?”

“Wasiat ayahmu yang pertama bermaksud janganlah engkau makan kecuali
apabila telah benar-benar lapar, kerana apabila engkau sudah terlalu
lapar engkau akan merasa makanan yang engkau makan itu begitu lazat
dan engkau akan bersyukur dengannya.”

“Berkenaan wasiat ayahmu yang kedua pula, hendaklah kamu selalu
berkelana, kerana apabila engkau bertemu semula dengan isterimu
setelah lama terpisah, engkau akan berasa seperti baru berkahwin.

Dan wasiat ketiganya, yang menyuruh engkau membina sebanyak-banyaknya
rumah ialah, carilah sahabat seramai mungkin. Apabila engkau telah
bersahabat dengan seseorang maka rumahnya akan menjadi seperti rumahmu
sendiri dan rumahmu juga sudah seperti rumahnya.”

Setelah mendengar penjelasan itu barulah dia faham maksud sebenar dan
kata-kata ayahnya, yang pada mulanya dianggap aneh itu. Memang luar
biasa insan yang bergelar Lukmanul Hakim ini, katanya satu hikmahnya
beribu.

~ by yakeshi on December 18, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: